Review Novel | Suamiku Encik Perfect 10! - Syamnuriezmil



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Selasa . 17 Februari 2015


Alhamdulillah, Cikgu Faiz berjaya menghabiskan sebuah lagi novel terkini yang berjudul 'Suamiku Encik Perfect 10!'. Novel ini telah diadaptasi ke filem dan telah dilakonkan oleh Aaron Aziz dan Lisa Surihani. Tanpa membuang masa jom kita baca review novel ini.




'Suamiku Encik Perfect 10!' mengisahkan tentang Aleeya Azmeen pelajar jurusan perubatan di sebuah universiti London berhadapan dengan situasi getir apabila dia telah dirogol oleh teman lelakinya, Syed Muzaffar. Tidak lama selepas itu Aleeya disahkan mengandung dan dibuang universiti akibat selalu tidak hadir ke kelas. Aleeya membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia dan berhadapan dengan ibunya. 


Sewaktu di dalam kapal terbang Aleeya telah bertemu dengan Zarief Danial secara tidak sengaja. Pada mulanya Aleeya kurang selesa dengan Zarief kerana terlalu banyak bertanya akan hal mengenai dirinya. Setelah sampai ke Malaysia Aleeya buntu akan cara bagaimana untuk berhadapan dengan ibunya Puan Yazmeen kerana dia telah memberitahu ibunya bahawa dirinya telah berkahwin.


Bagi mengelakkan Puan Yazmeen mengetahui cerita yang sebenar bahawa Aleeya telah dirogol, Zarief Daniel hadir untuk menghulurkan bantuan dengan menjadi 'suami sementara' Aleeya. Oleh kerana tiada cara lain lagi Aleeya telah menerima bantuan tersebut yang akan dilakonkan selama seminggu sahaja. Lakonan suami isteri di antara Aleeya dan Zarief telah mendapat tempat di hati Puan Yazmeen dan dia telah mula menyukai 'menantu'nya itu tanpa mengetahui cerita yang sebenar.


Manakala teman lelaki Aleeya iaitu Syed Muzaffar telah dipaksa berkahwin dengan gadis lain untuk memenuhi tuntutan wasiat datuknya jika menginginkan harta keluarga tersebut. Di dalam wasiat itu menyatakan bahawa Syed Muzaffar perlu berkahwin dan mempunyai anak dalam masa dua tahun. Disebabkan ingin membantu ayahnya menyelamatkan syarikat yang hampir muflis Syed Muzaffar telah bersetuju untuk berkahwin dengan gadis pilihan ibu bapanya setelah mendapat tahu Aleeya telah berkahwin. Tetapi malang bagi diri Syed Muzaffar apabila dia dan bakal tunangnya terlibat di dalam kemalangan. Gadis tersebut meninggal manakala Syed Muzaffar telah disahkan lumpuh. Akibat kemalangan tersebut Syed Muzaffar mula merasa insaf dan ingin menebus kesilapannya dengan mencari Aleeya. Syed Mustapha, ayah kepada Syed Muzaffar telah mengetahui bahawa Aleeya mengandungkan cucunya dan bertindak mencari Aleeya walau ke lubang cacing sekali pun.


Dalam masa seminggu lakonan Aleeya dan Zarief betul-betul menjadi dan membuat Puan Yazmeen yang pada mulanya merasa sangsi mula mempercayai satu demi satu lakonan mereka. Aleeya pula mula tertarik dengan Zarief kerana sikap Zarief yang penyayang dan sentiasa mengambil berat akan dirinya yang sedang berbadan dua itu. Inilah Encik Perfect 10 yang dicari-cari Aleeya selama ini tapi sayangnya Zarief Danial telah bertunang dengan Azura Hanim seorang model terkenal.


Setelah seminggu berlakon sebagai suami isteri, Aleeya dan Zarief Danial membawa haluan masing-masing. Dari situlah bermulanya rindu-rinduan Zarief terhadap Aleeya Azmeen. Aleeya juga begitu tetapi disebabkan Zarief telah mempunyai tunang dia terpaksa melupakan rasa cintanya itu. Pusing-pusing tang tu jugak. Begitulah diibaratkan Aleeya dan Zarief. Walau ke mana pon Aleeya pergi dia tetap akan bertemu dengan Zarief. Zarief pula tidak berputus asa terus berusaha untuk meyakinkan Aleeya tentang rasa cintanya itu.


Azura Hanim terdesak untuk berkahwin dengan Zarief Danial kerana telah mengandungkan anak orang lain. Toh Zaharah pula tidak bersetuju akan perkara tersebut dan berusaha menjejaki cerita sebenar dan bapa kepada anak yang dikandung Azura. Syed Muzaffar pula semakin kritikal dan hanya punya masa lebih kurang sebulan untuk hidup. Ternyata Aleeya masih sayangkan Syed Muzaffar dan bertindak untuk berkahwin demi keturunan anaknya itu. Zarief Danial berasa kecewa dengan keputusan Aleeya dan bertindak untuk pulang ke London setelah majlis pernikahannya dengan Azura Hanim dibatalkan. Azura Hanim dipaksa berkahwin dengan bapa kepada anaknya iaitu Akram pengurusnya sendiri. Dalam pada itu, Syed Muzaffar meninggal setelah selesai diijabkabulkan bersama Aleeya. 


Aleeya merasa terkejut apabila mengetahui Zarief akan berangkat ke London. Aleeya Azmeen berusaha memujuk Zarief Danial dengan melakonkan semula situasi mereka ketika mula-mula bertemu dahulu. Akhirnya Aleeya bersatu dengan Encik Perfect 10 nya itu.




Iklan sebentar ya --> SINI


Yang menaip,

2 comments:

Terima Kasih Daun Keladi, Lain Kali Komen Lagi :)