Dua mata saling bertatapan. Tiada kemesraan tetapi mengapa hati berbicara sesuatu yang amat sukar ditafsirkan oleh hati sendiri?
Novel yang bertajuk Bila Hati Berbicara ini mengisahkan tentang seorang jutawan muda terkenal di Malaysia yang bernama Emir Qasya. Mempunyai pakej lengkap iaitu kacak, kaya dan terkenal menjadikan Emir Qasya digilai oleh ramai gadis yang bukan calang-calang. Segalanya bermula apabila Emir Qasya ingin mencari calon isteri dan misinya itu dibantu oleh rakan baiknya iaitu Badri Fathul. Sahabatnya itulah yang sentiasa membantu membuat temu janji bersama wanita-wanita yang ingin dikenali oleh Emir Qasya. Status selebriti jutawan muda yang dipegang oleh Emir Qasya seringkali membuatkan lensa-lensa kamera sering tertumpu kepadanya. Segala temu janji Emir Qasya bersama wanita-wanita yang ingin dikenalinya seringkali dapat dihidu oleh wartawan yang sentiasa dahagakan berita-berita hangat dan sensasi memandangkan dia adalah selebriti popular yang kacak.
Sehinggalah takdir telah menentukan Emir Qasya bertemu dengan seorang gadis di kawasan rumah setinggan yang diberi nama Lembah Jingga. Emir Qasya telah melanggar Tania Katsura secara tidak sengaja dan selepas kejadian itu mereka seringkali terserempak di dalam keadaan yang tak terduga. Tania Katsura amat berterima kasih kepada Emir Qasya yang telah beberapa kali menyelamatkannya. Akan tetapi sikap Emir Qasya sangat menjengkelkan hati Tania Katsura sendiri. Tania Katsura lebih menyenangi Badri Fathul yang ternyata selalu mengambil berat akan perihal dirinya.
Dalam diam, Emir Qasya dan Badri Fathul menyimpan perasaan terhadap Tania Katsura. Gadis itu tidak mengetahui bahawa Emir Qasya mula menyukainya memandangkan sikap Emir Qasya yang sama sekali tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dirinya diminati di dalam diam. Malah Emir Qasya seringkali membuatkan hatinya sakit dan terluka. Badri Fathul pula lebih bersikap gentleman apabila sering membantu Tania Katsura sewaktu gadis itu memerlukan bantuan.
Apabila Badri Fathul mendapat tahu bahawa Emir Qasya juga menyukai Tania Katsura, dia telah mencabar sahabat baiknya itu untuk sama-sama berusaha untuk memenangi hati gadis idaman hati. Sehinggalah pada suatu hari, mereka bertiga telah 'kantoi' di tangan wartawan yang telah dapat menghidu pertemuan mereka bertiga pada hari tersebut. Akibat tidak sanggup diburu oleh pihak media dan wartawan, Tania Katsura akhirnya menerima lamaran Emir Qasya.
Rupa-rupanya ada yang tidak berpuas hati dengan perkahwinan Tania Katsura dengan Emir Qasya. Taufik yang sememangnya menyukai Tania Katsura telah merencanakan sesuatu yang bakal menghancurkan hidup Tania Katsura. Status Tania Katsura yang ditidak diketahui asal usulnya telah mencetuskan spekulasi di kalangan media yang sentiasa mahukan berita panas dan sensasi memandangkan suaminya Emir Qasya merupakan jutawan muda yang terkenal. Sikap Emir Qasya pula tidak menentu terhadapnya, kadangkala peramah dan kadangkala dingin seperti air batu. Pada Badri Fathul tempatnya mengadu dan dia telah menganggap lelaki itu seperti abang kandungnya sendiri memandangkan dirinya sebatang kara.Pertemuan dengan Badri Fathul telah dapat dihidu oleh wartawan dan berita mengenainya terpampang di dada akhbar. Akibat malu dan tertekan, Tania Katsura telah membawa diri ke suatu tempat yang dirahsiakan.
Takdir telah menentukan segalanya apabila cinta Emir Qasya dan Tania Katsura kembali bertaut dengan bantuan Badri Fathul. Segala spekulasi yang melanda telah dapat diatasi dan semuanya berakhir dengan kegembiraan. Tamat.
Nantikan review novel seterusnya pula ya. Ada banyak novel yang sedang menunggu giliran untuk di review. Hihihi. Sekian.
Yang menaip,
Rajinnya layan novel...
ReplyDelete