Di sini Cikgu Faiz kongsikan serba sedikit dapatan dan ilmu yang Cikgu Faiz perolehi semasa taklimat tersebut. Apa itu HFMD? HFMD (Hand, Foot and Mouth Disease) atau lebih dikenali dengan nama penyakit Tangan, Kaki dan Mulut adalah disebabkan oleh virus enterovirus. Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut adalah penyakit yang biasa berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Penyakit ini tidak sama dengan penyakit kaki dan mulut pada haiwan.
Antara tanda-tanda dan gejala penyakit HFMD adalah demam, ruam dengan lepuh di tapak tangan, kaki dan kawasan lampin, ulser di tekak dan mulut, sakit kepala serta hilang selera makan. Untuk lebih jelas lagi boleh rujuk pada gambar GOOGLE.
Cara penyakit HFMD ini berjangkit adalah melalui sentuhan secara langsung (direct contact) dengan lelehan hidung, tekak, air liur, cecair dari lepuhan dan najis individu yang telah dijangkiti.
Langkah pencegahan boleh diambil dengan :-
1) Mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan selepas mencuci najis anak.
2) Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk.
3) Jangan berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar, cawan, sudu dan garfu.
4) Elakkan daripada mencium dan memeluk individu yang dijangkiti.
5) Mandi dan tukar pakaian selepas pulang dari tempat kerja sebelum bermesra dengan bayi atau anak kecil.
6) Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak.
KOMPLIKASI
Komplikasi selalunya jarang berlaku tetapi boleh menyebabkan jangkitan pada otak, paru-paru dan jantung di mana ianya boleh mengakibatkan kematian.
PERINGATAN KEPADA IBU BAPA
Sekiranya anak anda mempunyai tanda-tanda dan gejala Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut :-
1) Segera bawa ke hospital atau klinik berdekatan.
2) Jangan hantar anak ke tadika, rumah pengasuh atau sekolah.
3) Lap lelehan dari mulut dan hidung dengan menggunakan tisu.
4) Elakkan membawa anak anda ke tempat awam yang sesak seperi pusat membeli-belah, pawagam, kolam renang, pasar atau stesen pengangkutan awam.
Sekarang ni memang tengah musim penyakit HFMD ni. Sama-samalah kita memantau kesihatan anak-anak kita di rumah supaya langkah-langkah awal dapat diambil sebelum ianya menjadi lebih serius. Yang penting lepas buat apa-apa aktiviti seperti bermain atau sebelum makan mestilah meminta anak-anak supaya membasuh tangan. Haaa.... nak basuh tangan pon ada cara tau. Bukan main basuh je. Hihihi. Ini penting supaya tangan bebas dari bakteria-bakteria jahat. Cara basuh tangan tu Cikgu Faiz akan kongsikan pada entri yang seterusnya nanti ye. Diharapkan dengan perkongsian ini akan dapat memberi manfaat. Sekian.
Sumber : Unit Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Yang menaip,
Memg kena ambil langkah berjaga jaga untuk elakkan penyakit ni berjangkit pada anak anak. Ibu bapa kena mainkan peranan untuk pastikan kebersihan dan keselamatan anak anak
ReplyDeleteDah mula Ada led ke Cikgu faiz
ReplyDelete