Tunjang Dalam Kurikulum Standard Prasekolah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


google.com


Ini adalah sambungan daripada entri INI


Tunjang Komunikasi

 Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di prasekolah yang beraliran bahasa Cina dan bahasa Tamil. Fokus utama Tunjang Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa dan Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Seni Bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan permainan bahasa seperti drama dan sajak.


Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai

 Tunjang ini merangkumi pendidikan Islam dan pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.


* Pendidikan Islam

  • Pendidikan Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang Rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah. Murid prasekolah belajar bersuci, berwuduk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan melakukan amalan harian mengikut adab. Pada masa yang sama murid ini juga mengenal asas bahasa Al-Quran, huruf hijjaiyah dan Jawi serta menghafaz beberapa surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam dijalankan melalui aktiviti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid, aktiviti hands-on, meneroka dan bermain.

* Pendidikan Moral

  • Pendidikan moral prasekolah memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di prasekolah. Pendidikan moral tidak dijalankan melalui aktiviti yang spesifik tetapi diterapkan melalui kesemua aktiviti yang dijalankan dalam prasekolah. Nilai-nilai murni Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan adalah seperti kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, keberanian, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, toleransi, berdikari dan berdisiplin.

Tunjang Ketrampilan Diri - Perkembangan Sosioemosi

 Pendidikan prasekolah memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika sosioemosi mereka kurang stabil dan mantap. Perkembangan sosioemosi merangkumi aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.


Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

 Tunjang ini merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti. 


* Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan

  • Kanak-kanak pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana tanpa perkembangan fizikal yang mantap kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar serta kordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang dirangkumi termasuk teknik yang betul untuk melompat, menyambut objek, membaling objek serta postur yang betul semasa duduk.
  • Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekankan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan diri.

* Perkembangan Kreativiti

  • Perkembangan kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti.
  • Fokus seni visual adalah pada aplikasi seni, ekspresi kreatif dan apresiasi. Aplikasi seni merujuk kepada proses mengenal dan memilih bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya. Ekspresi kreatif adalah proses penghasilan karya. Apresiasi seni melibatkan proses menceritakan hasil kerja sendiri dan juga menunjukkan penghargaan terhadap keindahan persekitaran serta hasil kerja orang lain.
  • Pendidikan Muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi, penghasilan muzik menerusi bahan atau objek improvisasi dan apresiasi muzik.
  • Drama dan Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan gerakan kreatif di mana murid diberi peluang untuk main peranan, berlakon, menari dan membuat gerakan secara kreatif.
  • Aktiviti tunjang ini bukan sahaja digunakan untuk meningkatkan daya kreativiti tetapi juga digunakan untuk mencapai objektif pembelajaran tunjang lain. Aktiviti menyanyi dan pergerakan kreatif sentiasa digunakan semasa pembelajaran bahasa, matematik dan lain-lain.

Tunjang Sains dan Teknologi - Awal Sains dan Awal Matematik

 Tunjang ini merangkumi awal sains, awal matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan ICT.


* Awal Sains

  • Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Semasa proses penerokaan ini, kemahiran asas proses sains seperti kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan piawai, membanding dan mengelas juga akan dikembangkan. Penerokaan dijalankan ke atas alam hidupan seperti tumbuhan dan haiwan, alam bahan seperti objek yang tenggelam dan timbul, air dan magnet dan alam fizikal seperti pelangi dan cuaca. Tunjang ini lebih mementingkan penguasaan kemahiran daripada pemerolehan pengetahuan. Guru perlu bersikap terbuka terhadap pandangan dan dapatan daripada hasil penerokaan murid.
  • Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak empat hingga enam tahun untuk membuat pembinaan menggunakan objek seperti blok. Aktiviti pembinaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari konsep penghubung, lingkungan serta awal matematik tetapi untuk meningkatkan daya kreativiti murid dan kemahiran motor halus.

* Awal Matematik

  • Awal Matematik membekalkan pengalaman awal matematik kepada murid prasekolah. Pengalaman ini termasuk konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep matematik ini dipelajari pada masa yang khas dan juga disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan. 
  • Tunjang Sains dan Teknologi juga menyediakan peluang kepada murid prasekolah menggunakan komputer untuk melakukan tugasan tertentu. Penggunaan komputer adalah di tahap kemahiran asas sahaja.

Tunjang Kemanusiaan

 Tunjang ini memberi peluang kepada kanak-kanak supaya lebih memahami diri sendiri, lebih memahami perhubungan antara diri dengan keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak-kanak juga akan lebih memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan-perhubungan ini. Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini.

 Tunjang Kemanusiaan menggariskan skop dan konteks pembelajaran di prasekolah. Kandungan dalam tunjang ini boleh digunakan untuk membina tema-tema pembelajaran.


Rujukan : Kementerian Pelajaran Malaysia (2010), Dokumen Standard Kurikulum Prasekolah, Bahagian Pembangunan Kurikulum.




With love..,

1 comment:

  1. Assalammualaikum wbt.
    Blog yang berinformasi dan padat dengan ilmu buat anak didik. Tahniah dan teruskan cikgu. Sudilah pula cikgu mengunjungi ke laman blog saya
    di http://cikgurohanimu.blogspot.com
    Komen cikgu saya nantikan. Terima kasih cikgu :) . Follow yer.

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi, Lain Kali Komen Lagi :)