Masalah Fonologi
Pengkodan fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dengan bunyi. Secara ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan antara 'paku' dengan 'pasu'. Mereka juga tidak dapat 'mendengar' rima akhir yang sama antara perkataan. Umpamanya, apabila ditanya apakah perkataan yang bunyi akhirannya sama dalam "Jack and Jill went up the hill", mereka akan menjawab, "Jack" dan "Jill".
Ini juga bermakna mereka keliru dan sukar membezakan harga sesuatu barang dalam bahasa Inggeris, sama ada fifty cents atau pun fifteen cents. Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh masalah pendengaran, sebaliknya berkait dengan pemprosesan maklumat di dalam otak (Farrer, 1996).
Keprihatinan dan pengetahuan para guru berkaitan masalah kanak-kanak disleksia sangat penting dalam usaha membantu mereka belajar. Umpamanya, kanak-kanak itu perlu diberi tempat duduk yang paling hadapan di dalam bilik darjah. Dengan cara ini, guru dapat memerhatikan kanak-kanak itu secara berterusan bagi memastikan arahan dapat diikuti dengan jelas.
Masalah Mengingat Perkataan
Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan yang normal. Kebanyakan mereka mempunyai IQ yang normal dan sebahagian daripada mereka mempunyai kecerdasan luar biasa. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai masalah dalam mencari semula perkataan. Ini bermaksud apabila mereka ditanyakan suatu soalan, mereka tidak dapat menjawab secara spontan. Mereka juga sering didapati mengalami kesukaran mengingati nama rakan-rakan, malah anggota keluarga dan merujuk individu itu sebagai "kawan saya di sekolah" atau pun "budak lelaki itu". Ini juga bermaksud mereka sukar mengingati fakta-fakta di sekolah apabila disoal oleh guru.
Seorang kanak-kanak disleksia mungkin dapat menghuraikan proses 'penyebaran' dalam subjek sains dengan panjang lebar tetapi mengalami kepayahan menyenaraikan contoh tumbuhan yang menggunakan angin sebagai mekanisma penyebaran. Selain itu, kanak-kanak disleksia juga cenderung menjadi kaku dan membisu apabila ditanyakan soalan.
Masalah Penyusunan Bersiri
Kajian menunjukkan kanak-kanak disleksia sukar menyusun sesuatu secara bersiri, seperti susunan bulan dalam setahun, susunan hari dalam seminggu, susunan huruf serta nombor. Justeru, mereka menghadapi masalah menghafal sifir atau pun mengingat susunannya. Apabila ditanya secara spontan, "Berapakah nilai 5x7?", mereka terpaksa membaca sifir daripada awal sehingga sampai kepada nombor yang dikehendaki itu. Ini bermakna penyelesaian satu masalah matematik yang mudah memerlukan jangka masa yang lama serta banyak tenaga dan usaha. Masalah yang sama berlaku dalam operasi pembahagian.
Selain itu, kanak-kanak disleksia juga menghadapi masalah menentukan waktu atau pun membaca jam, serta membuat kira-kira yang berkaitan dengan waktu. Contohnya, soalan seperti "45 minit sebelum pukul 1.15 tengahari adalah ..." sangat mencabar keupayaan mereka.
Sebahagian kanak-kanak disleksia menghadapi masalah dengan pengiraan yang melibatkan wang, seperti mengira jumlah harga barang atau pun menentukan baki.
Masalah Ingatan Jangka Pendek
Ingatan jangka pendek atau pun ingatan bekerja merujuk kepada stor di mana maklumat yang sedang digunakan disimpan. Kanak-kanak disleksia didapati menghadapi masalah memproses maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat dari stor ingatan jangka panjang. Kesemua proses ini akan mengumpul maklumat di stor ingatan jangka pendek bagi digunakan pada masa itu. Dalam erti kata lain, kanak-kanak disleksia tidak berupaya mengingat arahan-arahan panjang yang diberikan oleh guru. Umpamanya, dalam subjek lukisan, terdapat arahan seperti, "Lipat dua kad manila itu, potong di garisan tengah dan seterusnya". Apabila arahan itu melibatkan lima langkah atau pun lebih, lazimnya kanak-kanak disleksia teus hilang punca. Ini menyebabkan kanak-kanak itu disangka tidak memberikan perhatian.
Di rumah umpamanya, apabila kanak-kanak itu disuruh, "Kamu naik ke tingkat atas, simpan stoking dalam laci, panggil abang turun dan bawa turun buku matematik sekali," kanak-kanak disleksia pastinya tertinggal atau pun terlupa sesuatu. Akibatnya mereka sering dianggap sebagai degil atau pun tidak mendengar kata.
Masalah yang serupa juga timbul apabila kanak-kanak disleksia berhadapan dengan soalan aneka pilihan. Bagi memilih jawapan yang tepat, kanak-kanak itu perlu 'memegang' satu soalan dan empat pilihan jawapan dalam stor ingatan bekerjanya, dan ini menimbulkan masalah kepada kanak-kanak itu. Sehubungan itu, mereka didapati lebih berupaya menjawab dengan baik dalam soalan terbuka di mana mereka dapat berfikir dan menulis jawapan yang dikehendaki.
Masalah Kesedaran Sintaks
Kesedaran sintaks atau sensitiviti pada tatabahasa merujuk kepada kebolehan memahami sintaks suatu bahasa. Masalah ini wujud pada kanak-kanak disleksia di mana mereka sukar memahami peraturan berkaitan sintaks dalam bahasa. Umpamanya bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia mempunyai peraturan sintaks berbeza, di mana frasa "black cat" dalam bahasa Inggeris disebut sebagai "kucing hitam" dalam bahasa Malaysia. Kanak-kanak disleksia menghadapi masalah dengan bahasa keduanya apabila peraturan sintaksnya berbeza daripada bahasa pertama.
Rujukan : Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan (2006), Apa Itu Disleksia?, PTS Professional Publishing Sdn, Bhd.
With love..,
7 comments:
anak ke2 akak dysleksia.tp dia sgt kreatif melukis bermain alat muzik dan mudah menghafal ayat2 quran.cuma akademik sgt sukar bg dia.dari darjah 1 sampai 5 sering jadi mangsa buli.Now akak hantar ke dyslexsia centre.mmg kanak2 seperti ini sering dianggap oleh para guru atau ibubapa yg tak paham masalah dorg sbg murid/anak yg degil/malas tak siap homework.
@inazamri
itulah kak, biasanya kanak-kanak macam ni memang pandai dan minat dengan kreativiti. walaupon diorang ni lemah dan bermasalah dari segi pembelajaran tapi diorang juga ada kelebihan lain.
walaupun mereka ada kekurangan tp dr segi sudut lain diorang sgt kreatif
@Mimie
betul tu. silap-silap lagi kreatif dari kanak-kanak biasa.
mereka tetap istimewa...
Good info..nice sharing..
info yang menarik.. suka n3 ni.. =)
Post a Comment