KDrama | Goblin



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Jumaat . 13 Julai 2018




Bulan Syawal semakin melabuhkan tirai. Semoga tahun ini merupakan Syawal yang bermakna buat kita semua. Berbalik kepada tajuk entri ini, Cikgu Faiz ingin mengupas jalan cerita drama korea yang meletup-letup sekarang ni iaitu Goblin. Drama ini dibintangi oleh lima pelakon utama yang memegang watak-watak penting. Gong Yoo sebagai Kim Shin, Kim Go Eun sebagai Ji Eun Tak, Lee Dong Wook sebagai Wang Yeo + malaikat maut, Yoo In Na sebagai Sunny + Kim Sun, Yook Sung Jae sebagai Yoo Deok Hwa.


GOBLIN


Gong Yoo sebagai Kim Shin


Kim Shin seorang goblin berusia 939 tahun yang tidak pernah mati sedang mencari pengantin perempuannya yang dapat mencabut pedang yang tertusuk pada dadanya. Sebaik sahaja pedang tersebut dicabut, goblin akan bertukar menjadi abu dan rohnya dapat bersemadi dengan aman. Kim Shin mempunyai kuasa luar biasa tetapi ianya bukanlah semudah yang disangkakan. Kim Shin kesunyian di sepanjang hidupnya kerana telah kehilangan orang yang disayangi di hadapan matanya. Kim Shin merupakan seorang jeneral pada zaman Goryeo dan dia telah dibunuh oleh rajanya sendiri iaitu Wang Yeo yang kini telah dilahirkan semula menjadi malaikat maut.



Kim Go Eun sebagai Ji Eun Tak


Seorang pelajar sekolah tinggi yang ceria dan optimistik serta merupakan pengantin perempuan goblin yang dicari-cari. Ketika Ji Eun Tak masih di dalam kandungan, dia telah diselamatkan oleh goblin. Setelah lahir, Ji Eun Tak berupaya untuk melihat hantu dan hantu tersebut sentiasa muncul untuk bersembang dengannya. Ketika Ji Eun Tak berumur 9 tahun, ibunya telah meninggal dan sejak itu dia tinggal dengan makciknya serta dua orang sepupunya. Ji Eun Tak sering dibuli oleh makcik dan sepupunya yang tamakkan harta.



Lee Dong Wook sebagai Wang Yeo, malaikat maut


Seorang malaikat maut yang sangat kacak dan mempunyai perwatakan yang mencuit hati. Lahirnya malaikat maut ini adalah kerana dosa-dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu. Malaikat maut langsung tidak dapat mengingati siapa dirinya pada masa lalu. Dia berkawan baik dengan goblin. Dengan tak disangka-sangka, malaikat maut adalah raja yang telah membunuh general Kim Shin pada beratus tahun dahulu tetapi malaikat maut tidak dapat mengingatinya dan Kim Shin langsung tidak sedar akan perkara tersebut.



Yoo In Naa sebagai Sunny, Kim Sun


Merupakan pemilik restoran ayam yang keliru dengan perwatakan pelik malaikat maut yang menggunakan nama Kim Wo Bin. Kim Sun merupakan adik kepada Kim Shin dan permaisuri kepada Wang Yeo pada zaman Goryeo dan telah dibunuh di hadapan mata abangnya sendiri. Kim Sun telah dilahirkan semula menjadi Sunny.



Yook Sung Jae sebagai Yoo Deok Hwa


Seorang pewaris yang baik hati dan satu-satunya cucu daripada keluarga Yoo yang bertanggungjawab menjaga goblin dari generasi ke generasi. Yoo Deok Hwa tinggal bersama-sama goblin dan malaikat maut dan ketiga-tiga mereka menjadi sangat rapat.




Selain lima watak penting di atas, terdapat banyak lagi watak-watak yang menjadikan drama goblin meletup kebabom. Antaranya watak hantu-hantu, dewa yang boleh jadi tua kerepot dan muda jelita, makcik Ji Eun Tak, sepupu Ji Eun Tak, datuk Yoo Deok Hwa, ibu Ji Eun Tak, Ji Eun Tak sewaktu kecil, pembantu datuk Yoo Deok Hwa, kawan baik Ji Eun Tak, ah long, Sunny dan malaikat maut pada zaman Goryeo, kawan-kawan malaikat maut dan roh hantu yang jahat.


Kisah bermula apabila Ji Eun Tak bertemu Kim Shin secara tidak sengaja. Tiapkali Ji Eun Tak meniup api, Kim Shin akan muncul. Ji Eun Tak tinggal bersama makcik dan sepupunya yang sentiasa mencari ruang untuk mengambil buku banknya. Tiapkali Ji Eun Tak berasa sedih, Kim Shin akan muncul. Ji Eun Tak tahu bahawa Kim Shin adalah goblin tetapi dia tidak mengetahui bahawa Kim Shin mencari pengantin perempuannya untuk mencabut pedang yang tertusuk pada dadanya. Hanya pengantin perempuan goblin sahaja yang dapat melihat dan mencabut pedang tersebut. Kim Shin berkawan baik dengan malaikat maut yang tidak bernama. Malaikat maut pula jatuh hati pada pemilik restoran ayam yang cantik.


Selain jalan cerita menarik, lagu-lagu yang ada dalam drama ni pon best. Boleh dikatakan semua lagu sedap didengar. Drama ini menjalani pengambaran di Korea dan Kanada. Sebelum ni Cikgu Faiz ada kongsikan dua lirik lagu dari drama goblin ni. Pembaca semua boleh klik link di bawah untuk ke entri lirik lagu tersebut.


                    >>> Lasse Lindh - Hush





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...