Showing posts with label pendekatan pnp untuk pelajar disleksia. Show all posts
Showing posts with label pendekatan pnp untuk pelajar disleksia. Show all posts

Pendekatan P&P Untuk Pelajar Disleksia | Susunan Fizikal



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Kanak-kanak disleksia perlu ditempatkan di hadapan kelas. Melalui cara ini, hubungan mata (eye contact) dapat diadakan dan guru berupaya mengawasi secara berterusan apa yang dilakukan oleh pelajar itu. Cara ini juga menyebabkan peluang untuk kanak-kanak itu tertarik kepada perkara lain menjadi kurang. Selain itu, kanak-kanak disleksia juga boleh ditempatkan di sebelah murid cerdas yang mempunyai sifat prihatin dan bersedia membantu, namun kedudukannya masih perlu di sekitar barisan hadapan. Guru dapat mengecualikan pelajar daripada menyalin soalan supaya mereka mempunyai lebih masa bagi menyiapkan latihan.


Papan Tulis


Proses menyalin dari satu permukaan vertikal ke permukaan horizontal adalah sukar bagi kanak-kanak disleksia.
  • Sehubungan itu, guru hendaklah memberi edaran supaya kanak-kanak itu tidak mengambil masa terlalu lama bagi menyalin nota.
  • Sekiranya kanak-kanak itu menyalin dari papan tulis, guru perlu menyemaknya bagi memastikan tiada kesilapan dalam penulisan. Selain itu, kanak-kanak itu perlu diletakkan berhadapan dengan papan tulis.
  • Jangan tahan pelajar daripada keluar rehat.

Pembelajaran Dalam Bilik Darjah


Walaupun guru tidak dapat membuat pilihan berhubung sukatan pelajaran dan kurikulum, guru itu dapat menentukan jumlah bahan yang terlibat serta sedalam mana sesuatu topik itu perlu dikuasai oleh kanak-kanak disleksia.


Selain itu, guru juga perlu mengurangkan tugasan ataupun latihan yang tidak perlu kepada kanak-kanak disleksia. Contohnya seperti, guru dapat memberikan lebih masa kepada kanak-kanak itu menyiapkan latihan berbanding kanak-kanak lain, atau mengurangkan kuantiti kerja.


Oleh kerana kanak-kanak disleksia lazimnya perlu bersusah payah membuat sesuatu latihan ataupun tugasan, mereka wajar diberi penghargaan dan peneguhan yang bersesuaian. Contoh kata-kata peneguhan ialah :-

"Bagus!", "Kerja kamu kemas", "Tulisan kamu semakin cantik", Nampaknya kamu betul-betul berusaha".


Selain itu, proses pembelajaran perlu diselangi dengan rehat yang pendek. Ini dapat dilakukan dengan pelbagai cara seperti memberikan latihan yang genap sahaja daripada nombor latihan 1 hingga 20 yang dilakukan oleh kanak-kanak lain.


Satu cara yang konsisten perlu menjadi rutin supaya kanak-kanak disleksia dapat mengikutinya dengan mudah dan tidak menimbulkan kekeliruan. Sebarang perubahan perlu diterangkan dengan terperinci kerana ia dapat menyebabkan kekeliruan kepada kanak-kanak. Di samping itu, perkara yang dianggap remeh atau mudah seperti kedudukan penulisan tarikh, margin, penanda bacaan dan sebagainya perlu diterangkan sejelas-jelasnya kerana kanak-kanak disleksia tidak akan dapat belajar ataupun tahu sendiri.


Lembaran Kerja atau Kertas Peperiksaan


Lembaran kerja perlu dirancang teliti dan baris antara tulisan perlu dijarakkan sewajarnya. Antara cara lain ialah membesarkan tulisan khusus untuk kanak-kanak disleksia supaya kesilapan dapat dikurangkan. Mereka juga perlu diberi masa tambahan menyiapkan tugasan, ujian atau peperiksaan di semua peringkat.


Rujukan : Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan (2006), Apa Itu Disleksia?, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.




Yang benar,

Pendekatan P&P Untuk Pelajar Disleksia (Intro)



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


google.com



Guru-guru Prasekolah mempunyai peranan yang sangat besar dalam memberi bantuan awal kepada kanak-kanak disleksia, seterusnya menentukan masa depan mereka. Seorang guru yang peka dan menyedari muridnya mengalami simptom-simptom tertentu, dapat memaklumkan kepada ibu bapa mengenai masalah itu serta mencadangkan supaya murid itu diberi ujian diagnosis yang khusus.


Di sesetengah negara, terdapat ujian seperti The Aston Index (M. Newton and M. Thompson, 1976), CoPS 1 (Cognitive Profiling System, C. Singleton, 1996) dan DEST (Dyslexia Early Screening Test, A. Fawceett and R. Nicolson, 1996) yang digunakan oleh para guru bagi mengenal pasti kanak-kanak disleksia. Walau bagaimanapun, ujian-ujian ini tidak terdapat dalam versi bahasa Malaysia, Cina ataupun Tamil. Sehubungan itu, para guru mungkin terpaksa bergantung kepada suatu senarai semak tertentu bagi membuat screening. Senarai semak ini mengandungi simptom-simptom biasa yang ada pada kanak-kanak disleksia dan dapat digunakan bagi mengenal pasti kanak-kanak yang berkemungkinan mempunyai masalah disleksia.


Diagnosis awal sangat penting kerana kanak-kanak itu dapat diselamatkan daripada mengalami keciciran berbanding rakan lain. Ini juga bermakna mereka tidak perlu melalui pengalaman pahit serta kekecawaan hanya kerana keadaan mereka yang isitmewa tidak disedari ataupun difahami oleh orang lain. Kanak-kanak juga lazimnya sangat berminat balajar dan mereka lebih mudah dipulihkan.


Lebih muda usia kanak-kanak itu, lebih berkesan usaha pemulihan yang dijalankan.


Menurut Bradley (1989), pada peringkat Prasekolah, pembelajaran perlu dilakukan menerusi permainan dan siri pengajaran yang pendek seperti permainan menentukan rima akhir, bertepuk tangan, pergerakan dan muzik dan seumpamanya. Suasana pembelajaran seperti The Letterland System membantu mewujudkan keseronokan dan keceriaan dalam pembelajaran kanak-kanak termasuk kanak-kanak disleksia.


Contoh kad daripada The Letterland System (google.com)



Selain itu, adalah lebih mudah untuk para guru menggunakan program spesifik seperti :-
  • Alpha to Omega, A-Z oleh B. Hornsby.
  • Bangor Dyslexia Teaching System.
  • Kaedah Phono-Graphix.
  • Kaedah Orton-Gillingham.

Dengan cara ini, pengajaran lebih berstruktur, bersiri, kumulatif dan terperinci. Kaedah seperti ini menggunakan kad imbasan untuk satu siri latih tubi bagi membiasakan murid dengan bunyi huruf itu. Pendekatan yang digunakan ialah dengan meletakkan gambar yang menjadi kata kunci kepada bunyi huruf itu seperti 'kucing' bagi mengingati bunyi yang dapat dikaitkan dengan 'k'. Lembaran kerja dan latihan dengan skema pemarkahan juga terdapat dalam program-program ini.


Dalam suasana yang ideal, pelan pendidikan individu (IEP) perlu diadakan bagi setiap kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran. Namun demikian, realitinya sukatan pelajaran dan kurikulum setiap mata pelajaran di Malaysia sudah ditetapkan dan semua guru serta pelajar adalah tertakluk kepada kurikulum dan sukatan tersebut. Justeru, keprihatinan serta pengetahuan guru mengenai masalah disleksia amat diperlukan bagi memudahkan proses pembelajaran bagi kanak-kanak itu.


Rujukan : Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan (2006), Apa Itu Disleksia?, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.




Yang benar,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...