Review Novel | Asam Pedas Untuk Dia - Nureen Mirza



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sabtu . 18 April 2015


Baru je habis membaca novel terbaru. Asam Pedas Untuk Dia hasil karya penulis Nureen Mirza. Novel ini telah diadaptasi ke drama TV yang berjudul Asam Pedas Untuk Dia. Jalan cerita novel ini sangat menarik. Cikgu Faiz jarang menonton dramanya jadi tak tahu sama ada jalan ceritanya sama seperti dalam novel atau tidak. Cikgu Faiz hanya sempat menonton episod pertama, tengah dan yang terakhir sahaja. Huhu. Okey, sekarang Cikgu Faiz nak review jalan cerita novel ini. Jom...




"Air tanganku ini mengalir bersama sejuta rasa cinta"


Asam Pedas Untuk Dia mengisahkan tentang Ainin Sofiya, seorang wanita muda yang telah kehilangan suami tercinta akibat kemalangan jalan raya. Demi mencari sesuap nasi untuk keluarganya, Ainin Sofiya bertungkus lumus menjual nasi lemak dan kuih muih bagi menyara mereka dan dirinya sendiri. Tetapi berapalah sangat upah yang diterima sedangkan dia mempunyai hutang yang banyak dengan tuan rumahnya.


Ainin Sofiya mencuba nasib memohon pekerjaan sebagai pembantu rumah. Nasibnya baik apabila diterima bekerja di rumah Hajah Fauziah. Ainin Sofiya disenangi oleh majikannya kerana sifatnya yang rajin dan pandai memasak terutamanya asam pedas. Salah seorang daripada anak majikannya iaitu Ziyad cuba mengorek rahsia kehidupan Ainin Sofiya. Apabila mengetahui yang Ainin Sofiya berhutang dengan tuan rumahnya dengan nilai yang agak banyak, Ziyad cuba membantu tetapi niat baiknya itu ditolak oleh Ainin.


Akhirnya Ziyad membuat keputusan untuk bernikah dengan Ainin Sofiya atas sebab ingin membantu dan perkahwinan itu mesti dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga dan kekasih Ziyad dan ada beberapa syarat yang mesti diikuti oleh Ainin Sofiya. Salah satu syaratnya ialah Ainin Sofiya tidak dibenarkan mengandung. Oleh kerana tidak mempunyai pilihan, Ainin Sofiya terpaksa menerima lamaran Ziyad setelah beberapa kali dia menolaknya. Walaupun sudah berkahwin dengan Ziyad, Ainin Sofiya masih bekerja di rumah Hajah Fauziah iaitu umi Ziyad. Perkahwinan rahsia Ainin Sofiya dan Ahmad Ziyad berjalan lancar sehinggalah pada suatu hari, umi meminta Ziyad bertunang dengan kekasihnya, Syafinaz.


Di saat cinta mula berbunga di hati Ainin Sofiya, Ziyad mula berubah secara tiba-tiba. Semuanya disebabkan oleh kawan sepejabat Ziyad yang ternampak Ziyad dan Ainin Sofiya membeli-belah bersama. Oleh kerana ingin menjaga hati Syafinaz, Ziyad terpaksa mengabaikan Ainin Sofiya biarpun hatinya tidak ingin berbuat begitu. Ziyad sudah sayang sepenuhnya terhadap Ainin Sofiya. sehinggalah pada suatu hari takdir telah menentukan yang Ainin Sofiya telah mengandungkan anaknya. Ziyad berasa terkejut dan marah apabila mengetahui yang isterinya telah mengandung dan melanggar syarat perkahwinan mereka.


Akhirnya, Ainin Sofiya membuat keputusan untuk berhenti kerja. Dia tidak lagi menjadi pembantu rumah di rumah Ziyad. Ziyad juga mengambil keputusan untuk menghantar Ainin Sofiya dan keluarganya tinggal jauh daripada rumah uminya dengan tujuan supaya rahsia perkahwinan mereka tidak terbongkar. Ainin Sofiya kecewa dengan Ziyad. Dia merasakan Ziyad sudah tidak sudi lagi untuk bersama dengannya. Sehinggalah pada suatu ketika Ainin Sofiya dan keluarganya hilang secara tiba-tiba padahal mereka sekeluarga pergi menghadiri majlis perkahwinan sepupu arwah suami Ainin Sofiya. Sudah puas Ziyad mencari Ainin Sofiya dan keluarganya tetapi langsung tidak ketemu. Padahal majlis perkahwinan Ziyad dan Syafinaz hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Ziyad keliru dengan perasaannya sendiri dan akhirnya dia membuat keputusan yang sangat memeranjatkan ahli keluarganya. Yang peliknya umi dan ayah Ziyad langsung tidak marahkannya. Kalaulah Ziyad tahu semudah itu, tapi apakan daya nasi telah menjadi bubur. Ainin Sofiya masih tidak ketemu.


Ziyad tetap gigih mencari Ainin Sofiya dan akhirnya bertemu juga setelah bertungkus-lumus mencari isterinya itu. Ziyad tidak sabar untuk membawa Ainin Sofiya bertemu dengan keluarganya setelah rahsia mereka terbongkar. Akhirnya mereka dapat hidup bersama tanpa perlu berahsia apa-apa lagi. Tamat.


Hihi... Amacam? Best tak agak-agak? Memang tak rugi beli novel ni sebab ceritanya memang best dan paling syok bila baca bab asam pedas tu confirm korang pon terliur sama. Hahaha. Kalau korang ada menonton episod terakhir drama ni, memang ada sedikit perubahan dan ending nya tak sama seperti cerita dalam novel. Sekian.


Yang menaip,

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...