Disleksia dan otak kita (part 1)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Galaburda, susunan sel-sel otak seorang disleksia adalah berbeza daripada otak orang yang biasa. Apabila dilahirkan, manusia mewarisi gen daripada ibu bapanya. Oleh itu, masalah disleksia dapat dikatakan sebagai masalah keturunan. 88 peratus daripada mereka yang mempunyai simptom disleksia mewarisi masalah itu daripada ahli keluarganya. 12 peratus lagi mendapat masalah ini daripada kemalangan iaitu ketika dalam kandungan atau pun selepas dilahirkan.


Ahli penyelidik masih tidak dapat mengetahui bagaimana otak manusia berfungsi, tetapi sudah mengenal pasti fungsi beberapa kawasan otak yang tertentu. Walaupun setiap kawasan mempunyai fungsinya yang tersendiri, namun demikian setiap kawasan di dalam otak berkaitan antara satu sama lain. Otak kita dapat dibahagikan kepada dua bahagian yang disambungkan dengan satu saraf yang panjangnya empat inci diameternya dua inci. Saraf itu dikenali sebagai 'corpus callosum'.
Otak terdiri daripada dua hemisfera. -Sumber: google.com.my-


Walaupun kedua belah otak kelihatan sama, setiap bahagian mempunyai tugasnya tersendiri. Sebelah kiri otak menguasai percakapan, kewarasan dan merupakan bahagian yang lebih berkuasa (verbal, logical and controlling half) daripada bahagian sebelah kanan. Manakala sebelah kanan pula menguasai perlakuan dan merupakan bahagian pemikiran bukan lisan, praktikal dan kebolehan memahami (non-verbal, practical and intuitive).


Pandangan sisi kawasan pemprosesan bahasa dalam hemisfera kiri otak (Hornsby, 1995)
-Sumber: google.com.my-


Kawasan Broca terlibat dengan bahagian percakapan manakala kawasan Wernicke pula terlibat dalam bahagian memahami pertuturan.


Pandangan atas kawasan pemprosesan bahasa dalam kedua-dua hemisfera otak mereka yang nornal (Hornsby, 1995)
-Sumber: google.com.my-


Seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah sebelum ini, manusia biasanya mempunyai bahagian pertuturan di sebelah kiri otak yang lebih besar daripada sebelah kanan otak. Ramai pakar percaya yang masalah disleksia timbul apabila kedua belah otak mempunyai bahagian bahasa yang sama besar. Punca utama masalah disleksia disebabkan oleh sambungan antara kedua belah otak yang dipanggil 'corpus callosum'. Corpus callosum dapat menjadi satu perjalanan isyarat saraf yang 'sesak' (confusing traffic jam of nerve signals) dengan impuls saraf yang berulang-alik.


Perbandingan isyarat saraf antara manusia normal dan mereka yang menghidap disleksia (Hornsby, 1995)
-Sumber: google.com.my-


Sebagai contoh, suatu objek yang padu seperti meja atau pun kerusi adalah bersifat tiga dimensi. Oleh itu, ia tidak menimbulkan masalah kepada kanak-kanak disleksia. Namun demikian, huruf seperti 'b' atau pun 'd' dapat menyebabkan kekeliruan. Imej huruf ini akan dipindahkan dari hemisfera otak kiri ke hemisfera otak kanak bersilih ganti (ulang alik), sambil otak cuba membuat keputusan sama ada ianya adalah 'b' atau pun 'd'. Pemindahan silih berganti ini menyebabkan laluan antara otak kiri dan kanan menjadi sesak dan mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan kesan seperti 'imej cermin' bagi huruf-huruf itu.


Rujukan : Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan (2006), Apa Itu Disleksia, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.




With love..,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...