Mengapakah Perlu Ada Aktiviti Seni dan Kraf untuk Kanak-Kanak?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Ini merupakan kesinambungan daripada entri INI dan INI


Sumber gambar : carian google



Aktiviti seni dan kraf kanak-kanak menekankan pembentukan jiwa kanak-kanak ke arah aktif dan kreatif serta berupaya mencipta sesuatu yang baru. Dalam aktiviti seni dan kraf, kanak-kanak diberikan kebebasan untuk berfantasi berdasarkan imaginasi dan kreativiti masing-masing. Aktiviti seni dan kraf kanak-kanak bukan terhad kepada pameran di galeri seni. Ia juga merupakan strategi dan kaedah pembelajaran untuk membantu melahirkan pembelajaran dan persekitaran yang menyelitkan unsur-unsur bahasa, emosi, sosial, fizikal, kognitif, kreativiti dan kerohanian, sikap dan nilai agar dapat membentuk insan secara menyeluruh.


Seni dan kraf dalam perkembangan bahasa kanak-kanak.


Kanak-kanak menggunakan bahasa dengan meluas dan berkesan apabila berinteraksi dengan guru atau ibu bapa sepanjang proses melaksanakan aktiviti seni dan kraf. Kanak-kanak dapat menguasai kemahiran bahasa terutamanya kemahiran bertutur dan mendengar semasa aktiviti seni dan kraf. Kanak-kanak berpeluang menggunakan bahasa secara bermakna dan tepat seperti menggunakan perkataan dan ayat yang mudah dengan sebutan yang betul serta berinteraksi secara sopan dan bertatasusila menerusi aktiviti seni dan kraf.


Seni dan kraf dalam perkembangan emosi kanak-kanak.


Kanak-kanak menunjukkan kepuasan dan menyampaikan perasaan mereka menerusi hasil kerja seni mereka serta menerima pandangan orang lain semasa bercerita dan mempamerkan hasil kerja. Proses aktiviti seni dan kraf membentuk sikap positif kanak-kanak berkenaan kebolehan sendiri, membina keyakinan diri dan semangat berdikari.


Seni dan kraf dalam perkembangan sosial kanak-kanak.


Aktiviti seni dan kraf memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi, bertolak ansur dan bekerjasama. Aktiviti seni dan kraf juga memberikan peluang kepada kanak-kanak menggunakan kemahiran sosial dalam interaksi seperti berkongsi bahan dan peralatan seni serta menunjukkan kepekaan terhadap keperluan kanak-kanak yang lain.


Seni dan kraf dalam perkembangan fizikal kanak-kanak.


Perkembangan fizikal kanak-kanak dapat dikuasai menerusi aktiviti seni dan kraf. Penggunaan bahan dan peralatan dalam aktiviti seni dan kraf memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan dan koordinasi tangan serta mata untuk kanak-kanak. Secara tidak langsung, kemahiran motor kanak-kanak dapat dipertingkatkan dengan berkesan.


Seni dan kraf dalam perkembangan kognitif kanak-kanak.


Aktiviti melukis dan kraf dapat mempertingkatkan kematangan kognitif seseorang kanak-kanak. Pakar-pakar psikologi menggunakan lukisan atau kraf kanak-kanak untuk menilai kematangan intelektual dan emosi mereka. Aktiviti seni dan kraf yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah, menggalakkan eksplorasi dan eksperimentasi serta bijak membuat penilaian dan keputusan.


Seni dan kraf dalam perkembangan kreativiti kanak-kanak.


Sepanjang proses aktiviti seni dan kraf, kanak-kanak diberi peluang untuk membuat pemerhatian, menganalisis, menjana idea dan seterusnya menghasilkan karya seni yang asli. Oleh yang demikian, proses ini dapat meningkatkan kreativiti dan imaginasi kanak-kanak. 


Seni dan kraf dalam perkembangan kerohanian, sikap dan nilai kanak-kanak.


Kanak-kanak mengamalkan sikap sabar, tekun dan kerjasama semasa aktiviti seni dan kraf. Selain itu, penggunaan bahan-bahan buangan persekitaran mendidik kanak-kanak menghayati keindahan alam semulajadi. Keindahan yang dihayati akan menimbulkan rasa seronok kanak-kanak untuk lebih dekat dengan alam ciptaan Tuhan. Secara keseluruhannya, aktiviti seni dan kraf yang merangkumi aktiviti menggambar, aktiviti membuat corak dan rekaan serta aktiviti bentuk binaan dapat membantu kepada perkembangan bahasa, emosi, sosial, fizikal, kognitif, kreativiti, kerohanian, sikap dan nilai kanak-kanak.


Rujukan : Loy Chee Luen (2011), Perkembangan Seni dan Kraf Kanak-Kanak, Gerak Ilmu Sdn. Bhd.


Kalau dah baca tolong klik SINI kejap ye :) Terima kasih daun keladi.


With love..,

6 comments:

hnahdy said...

nice info :)

Unknown said...

Sangat berguna ..!! Terima kasih kerana sudi berkongsi :)

Che Roshani said...

Sangat berguna ! :) :)

Anonymous said...

Tahniah, rasa-rasa inilah blog yang tergolong di antara yang terbaik. Saya rasa rileks kat sini. Dah lama ke jadi blogger, sungguh profesional.

Dingdang said...

@Junaidi bin Eber
Terima kasih cikgu :)
Saya amat hargainya..

Mimie said...

satu perkongsian yg sgt bagus...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...